BUKAN SOAL CINTA YANG JUJUR, TAPI KEJUJURAN DALAM BERCINTA!
Kejujuran Membuktikan Ikatan yang Kukuh
Jangan gemar menyalahkan cinta apabila berlaku kecurangan dalam perhubungan. Akibatnya muncullah kata-kata yang sering menuding jari kepada Cinta, seolah cinta ini telah menjebakkan diri manusia ke arah kehinaan dan keburukkan. Lahirnya istilah ‘Cinta itu Buta’ bukanlah kerana Cinta itu bersalah, tetapi pemilik cinta itu yang menyalah-gunakannya.
Jangan salahkan topi keledar yang tidak sempurna jika berlaku kemalangan, tapi salahkan juga pemandu yang membonceng motosikal akibat kelalaian dan ketidak-patuhannya kepada prinsip dan peraturan jalan raya.
Sedang CINTA itu datangnya dari ALLAH taala, mana mungkin natijahnya akan membuahkan keburukkan.
Kalau lembu dan kerbau itu diikat dengan tali agar ia tidak lari, namun manusia diikat dengan janji agar dia tidak pergi. Ikatan yang kuat adalah ikatan yang tanpa adanya tali namun ia tetap kukuh dan setia. Kejujuran adalah tali yang paling utuh ikatannya.
Orang beragama ISLAM apabila cinta akan TUHAN-nya, dia mudah patuh kepada Penciptanya. Selagi hamba itu Jujur dengan TUHAN, selagi itu TUHAN tidak perlu risau akannya kerana DIA tahu hambanya tidak akan lari daripadanya. Orang yang berpaling daripada TUHAN adalah orang yang sudah hilang nilai kejujurannya, kerana tali kejujuran yang mengikatnya dengan TUHAN telahpun terputus.
Ibarat Unta liar yang dipelihara oleh pengembala, menunggu masa jika tali terputus dan dileraikan ikatannya, dia akan lari sejauh-jauhnya.
Orang bertanya: ‘Mengapa selalu berlaku putus cinta di pertengahan jalan (hubungan)?’ jawabnya mudah sahaja. Selagi tidak ada nilai kejujuran dalam percintaan, bercintalah dengan sesiapa pun, ia akan mudah terputus. Sesuatu yang tidak diikat, ia akan lari samada dengan sengaja atau dilarikan atau berlari sendiri.
Sampan atau kapal yang tidak diikat, akan dilarikan oleh ombak dan tiupan angin. Tidak kiralah sebesar mana sekalipun kapal itu, waimma TITANIC sekalipun, jika tiada tali yang mengikat ia akan lari, paling kurangpun diletakkan sauh yang berat.
Kalaulah sampan yang kecil itupun perlu diikat dengan tali, mengapa tidak Cinta yang mempunyai nilai besar tidak diikat dengan tali kejujuran?
Pendek kata, talinya mesti kukuh. Kukuhnya tali ikatan adalah dengan aspek Kejujuran.
Anda jangan perlu risau atau bimbang atau gusar atau khuatir atau segala macam ketakutan jika orang yang anda Cintai bersikap jujur dengan anda. Sejauh mana sekalipun anda dipisahkan dengannya jika Jujur adalah pengikat janji, dia akan terus setia.
Bagaimana ingin jujur dalam bercinta? Jawabnya: Jangan dan usah berbohong!
Bagaimana pula jika mahu Jujur dengan TUHAN? Jawabnya: jangan bohongi DIA, kalau disuruh anda Sembahyang, sembahyanglah. Jika sudah terbukti kata-NYA HARAM, jauhilah. Mengikut kata orang atau sesiapa yang anda cintai adalah sebahagian daripada kejujuran.
Contohnya:
‘Imah, bila abang keluar out-station nanti, jaga anak kita elok-elok ya. Jangan keluar rumah jika tak ada kepentingan’
‘Baiklah abang!’ (Jika Imah tidak cintakan suaminya, pasti dia akan mengabaikan kata-kata atau pesan suaminya. Keluar rumah dan enjoy dengan lelaki lain. Tetapi Imah seorang isteri yang jujur disebabkan cinta yang tidak berbelah bahagi kepada suaminya)
Lagi,
‘Kalau Nurul sayangkan abang, Nurul mesti kuat ya. Hidup mesti diteruskan!’
‘Abang jangan cakap macam tu, Nurul sayangkan abang, Nurul akan ingat pesan abang sampai bila-bila’(Nurul menangis)
Pendek kata: SAYANG dan CINTA ITU IKATANNYA adalah KEJUJURAN. Hilangnya Kejujuran, maka hilang juga cinta.
Saat Menilai CINTA
Cinta tidak boleh diukur dengan mudah. Kayu pengukurnya bukanlah seperti mengukur kayu iaitu pembaris. Kalaulah cinta itu boleh diukur dengan pembaris, siapa yang paling panjang cintanya dialah paling bahagia.
Masa juga tidak boleh mengukur cinta. Panjangnya masa bercinta belum cukup untuk membuktikan cinta itu sudah berjaya, mati akan memotong nilai masa. Apabila sudah mati, bagaimana pula mahu menilai cinta? Adakah perlu mencari cinta yang baru?
Cinta itu bukanlah berpegang-pegangan tangan, tetapi cinta walaupun tidak berpegangan tangan ia tetap boleh berlaku, dengan syarat mesti ada kejujuran. Lalu, mengapa perlu berpegangan tangan jika sudah tahu HARAM?
Akhirnya, kita mesti akui bahawa, cinta sejati hanya boleh diukur dengan bukti kejujuran. Kejujuran adalah segala-galanya dalam percintaan. Kerana jujurnya ikatan antara Laila dan Majnun sehingga kini nama mereka disebut-sebut sebagai pasangan cinta yang agung.
Anggaplah tali kejujuran ini seperti Ihsan yang pernah disebutkan oleh Nabi saw dalam sabdanya: ‘kamu beribadah seolah-olah kamu melihat DIA, jika tidak dapat melihat DIA, sesungguhnya DIA melihat kamu’
Kamu bercinta ini, seperti kamu sentiasa diperhatikan oleh orang yang kamu cintai. Sepanjang masa tidak melakukan apa yang tidak disukai olehnya. Dan setiap masa hanya melakukan perkara yang boleh memberikan gembira di hatinya. Kalau si Dia yang dicintai sentiasa di sisi dan melihat gerak laku kita, mana mungkin kita mahu merosakkan nilai cinta dengan berbohong.
Terasa sentiasa dilihat dan melihatnya, adalah tali-tali kejujuran yang akan mengawasi dan mengawal kita.
Kalau polis sentiasa melihat anda, mahu mencurikah?
Kenapa Mudah Berpaling Tadah?
Saya menambah lagi tentang kayu ukur cinta. Lafaz di mulutpun belum cukup untuk menjadi kayu ukurnya. Mulut ini kadangkala bisa menipu. Lalu, kejujuran mesti dinyatakan dengan hasrat hati dan perbuatan yang melaksanakannya.
Jika mulut sudah melafazkan cinta, hati mesti mengakuinya dengan keazaman supaya bukti lafaz cinta itu (kejujuran) dapat dilaksanakan oleh pemilik cinta.
Cinta yang jujur adalah cinta yang tidak akan berpaling tadah. Sama sepertinya seorang hamba yang setia kepada tuannya. Kerana apabila dia memberikan khidmat (cinta) kepada tuannya dia yakin dia juga akan mendapat upah (cinta) daripada tuannya. Dia tidak akan berpaling tadah selagi pemberiannya (khidmat) sentiasa mendapat balasan (cinta).
Kejujuran tidak boleh dimeterai hanya sebelah pihak, ia mesti mempunyai konsep MEMBERI dan MEMBALAS. Jika salah satu dirosakkan dengan pembohongan ia akan musnah.
CINTA beerti memberi, semakin banyak memberi cinta semakin banyak kita mendapat cinta. Semakin banyak anda membuktikan kejujuran semakin tinggi nilai kejujuran yang akan anda dapat dan perolehi daripada orang yang anda cintai.
Bersikap JUJUR-lah dalam percintaan, kerana ia adalah nyawa dalam perhubungan.
Buang dan jauhilah pembohongan kerana ia adalah duri perosak kepada perhubungan.
Karya asal : http://afiqsaleh.blogspot.com/2010/05/bukan-soal-cinta-yang-jujur-tapi.html
0 comments:
Post a Comment