Salam pembuka bicara...

Salam pembuka bicara...

Friday, February 28, 2014

Lu dah cakap langsi sama gua..lu ingat gua boleh duduk diam ha..

Posted by Emiera Roselle at 3:26 PM

بسم الله الرحمن الرحيم

Topik yang saya mahu bincangkan pada hari ini ialah kepentingan KOMUNIKASI dalam kehidupan. Bila kita lihat isu yang terhangat sekarang mengenai kisah Sharnaaz Ahmad, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, apa yang kita fikirkan?? Mesti kiranya jika kita meminati Sharnaaz, sudah pastilah kita akan persalahkan pasangan suami isteri itu dalam hal ini dan begitu juga sebaliknya. Namun jika kita selidiki masalah mereka ini sebenarnya ia bermula dengan masalah komunikasi. Komunikasi yang tidak baik menyebabkan punca salah faham berlanjutan hingga tak sudah. Hal ini amat memalukan kita sebagai orang Islam. Bergaduh sesama saudara sendiri. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Mesti orang yang bukan Islam asyik mentertawakan mereka ini. Inikah orang Islam??

Dalam Islam kita ada konsep SYURA. Syura adalah suatu kaedah dan prinsip penting yang diajar oleh agama Islam dalam melahirkan masyarakat Islam yang membangun, maju, stabil dan adil. Konsep Syura sangat luas merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia, dari perkara berkaitan kehidupan harian hingga pemerintahan negara. Syura adalah prinsip fitrah yang wujud dalam jiwa manusia. Manusia sukakan urusan mereka dibincangkan dengan meneliti pelbagai pandangan.

Syura mula diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan kemudiannya diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rashidin selepas kewafatan beliau. Perintah melaksanakan Syura di dalam setiap urusan politik dan pemerintahan telah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui ayat :


“... dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (setelah bermesyuarat untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”

Dari segi istilah, maksud bagi kalimah al-Syura, al-Tashawur & al-Mushawarah ialah perbincangan yang diadakan untuk membincangkan sebarang perkara yang berkait samada dengan kepentingan individu ataupun masyarakat, oleh kalangan cendekiawan dan kumpulan ulama yang mempunyai kepintaran dan pengalaman serta mampu memberikan suatu pandangan mengenai sesuatu perkara. Di samping itu, mereka juga dapat menjelaskan hujah-hujah bagi mencari suatu keputusan yang terbaik.

* Alangkah bagusnya jikalau mereka ini berbincang. Cari penyelesaian secara damai. Janganlah tunjukkan pada orang sikap buruk kita. Hal ini sangatlah memalukan. Aduhaiii umat akhir zaman.

Islam memandang mulia terhadap aktiviti komunikasi. Ini kerana, perkataan yang lebih baik di sisi Allah ialah kalimah yang digunakan oleh hambanya untuk menyeru orang lain supaya mentauhidkanNya, mematuhi perintah Allah dan ia sendiri melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, maka orang tersebut adalah dianggap lebih baik perkataannya (ahsana Qaulan) disisi Allah S.W.T.. Dalam konteks komunikasi yang lain ia merujuk kepada perintah Allah supaya setiap daripada hambanya saling memperingati antara satu sama lain. Ianya telah dikuatkan lagi melalui elemen lisan dalam komunikasi yang mana Baginda Rasulullah S.A.W. menuntut agar umatnya supaya mencegah segala kemungkaran yang dilihatnya.

Kepentingan komunikasi lisan untuk melakukan perubahan dan tegahan dapat diperhatikan kepada Hadis Rasulullah yang mengklasifikasikan peranan lisan di tempat yang kedua selepas tangan iaitu kuasa. Perkara ini dapat diperhatikan pada hadis yang bermaksud :

" Barang siapa di antara kamu melihat sesuatu kemungkaran yang telah berlaku maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya, jika tidak berkuasa, maka dengan lisan, jika tidak berkuasa juga ia mengubah dengan hatinya bagi yang sedemikian selemah-lemah iman".

Muhammad Tahir Asyur menyatakan bahawa bersuara atau menyatakan sesuatu melalui percakapan adalah hak fitrah manusia. Ini adalah kerana percakapan itu adalah satu cara yang menjadi gambaran di dalam hati dan diterjemahan dalam bentuk bahasa kepada orang lain untuk menyampaikan hasratnya.

Manakala Chester I. Barnard melihat komunikasi sebagai satu jalan apabila seseorang manusia dihubungkan bersama dalam satu organisasi untuk mencapai tujuan bersama. Hal ini merupakan fungsi dasar komunikasi yang utama. Oleh itu, adalah mustahil untuk menjalankan aktiviti berkumpulan tanpa menggunakan komunikasi yang baik kerana segala penyelarasan dan perubahan tidak dapat memberi kesan yang sebaiknya apabila aktiviti komunikasi tidak dijalankan dengan landasan yang telah ditetapkan dalam Islam.

Komunikasi juga boleh digunakan untuk membebaskan atau menyangkal, untuk mencipta atau memusnahkan, serta untuk memperbaiki mutu kehidupan di dunia ini atau untuk melenyapkannya. Tetapi untuk merialisasikan hal itu mestilah menggunakan cara yang sesuai dalam komunikasi bagi melahirkan kesejahteraan dalam kehidupan.

Disamping itu, ia membolehkan kita mengenali orang lain dan seterusnya dikenali oleh mereka. Melalui komunikasi juga ia membolehkan kita hidup berkumpulan dan menjadi alat kerjasama dan penyelarasan sosial sejagat antara manusia. Begitu juga dalam bidang ekonomi, komunikasi yang baik adalah menjadi perkara pokok dalam menentukan hala tuju perkembangan ekonomi yang pesat dalam sesebuah organinasi amnya hingga keperingkat antarabangsa khususnya.

Melihat kepada kepentingan komunikasi ini, ia adalah satu aktiviti yang dilakukan pada setiap saat dalam kehidupan seharian manusia yang masih bernyawa. Ianya adalah untuk memenuhi kehendak sosial dan psikologi kerana manusia perlu berkomunikasi dengan manusia lain bagi melafazkan apa yang ingin diperkatakan atau untuk berkongsi pemikiran, pendapat, emosi dengan ahli masyarakat di sekelilingnya. Kehendak untuk berkomunikasi ini adalah satu kehendak dasar selagi manusia mahu hidup bermasyarakat.

Jenis-Jenis Komunikasi

Menurut Dr. Mohammad Fadhilah Kamsah dari kaca mata sarjana Islam, komunikasi kemanusiaan terbahagai kepada tiga iaitu komunikasi di antara manusia dengan Allah, komunikasi manusia dengan manusia dan komunikasi dengan alam persekitaran.

Bagaimanapun ianya juga dibahagi kepada tiga bahagian yang sedikit berbeza. Tiga bahagian tersebut ialah komunikasi dengan pencipta, komunikasi dengan diri sendiri dan komunikasi dengan alam atau makhluk. Secara huraiannya tiga bahagian tersebut dapat diterangkan seperti berikut :

i.             Komunikasi dengan pencipta.
Iaitu ibadah secara khusus. Perkara ini merujuk kepada apabila setiap individu Muslim wajib mengadakan hubungan terus dengan Allah sekurang-kurangnya 5 kali sehari melalui sembahyang fardhu. Ibadah sebagai komunikasi secara langsung dari hamba kepada penciptanya ini sangatlah penting kerana dengan sembahyang itu akan dapat mencegah seseorang Muslim daripada melakukan perbuatan-perbuatan buruk dan kemungkaran yang ditegah oleh Allah.

ii.           Komunikasi dengan diri sendiri.
Ketepatan dan kejelasan adalah amat perlu kerana apabila seseorang melakukan sesuatu tindakan atau komunikasi dengan pihak luar, sebelumnya akan berlaku proses komunikasi di dalam diri individu tersebut. Antara unsurnya ialah niat dan berfikir.
Maka di dalam Islam, faktor niat adalah penting sehingga boleh menentukan sah atau tidaknya perbuatan seseorang keatas perbuatan yang dilakukannya. Oleh itu Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud :

" Sesungguhnya setiap perbuatan adalah dengan niat".

Kepentingan niat dalam konteks undang-undang disebut dengan motif menjadikan sesuatu perkara yang amat penting dalam pelaksanaan undang-undang bagi memastikan seseorang itu bersalah atau tidak.

iii.          Komunikasi dengan alam atau makhluk.
Komunikasi jenis ini berlaku selain daripada komunikasi dengan pencipta dan dengan diri sendiri. Komunikasi peringkat ini berlaku sama ada memberi kesan negatif atau positifnya bergantung rapat kepada sejauh mana ketepatan dan kebenaran proses komunikasi dilakukan pada komunikasi peringkat pertama dan peringkat kedua.

Dalam konteks ini Islam mengiktiraf dan menerima segala bentuk peralatan komunikasi moden yang beraneka jenis di zaman kini yang menjadi elemen perantara perhubungan sosial asalkan ianya tidak mendatangkan kesan negatif kepada keaslian fitrah manusia yang memerlukan keamanan, kebaikan dan kesejahteraan hidup.

Komunikasi peringkat ini tidak terbatas kepada sesama manusia sahaja, malah Al-Quran menceritakan bahawa Nabi Sulaiman A.S. sendiri telah diberi kelebihan bahasa pertuturan dengan binatang seperti burung dan sebagainya.


Ini membuktikan bahawa kita perlu berdisiplin dalam setiap apa jua komunikasi yang dijalankan sama ada terhadap Allah S.W.T. sebagai pencipta mahupun diri sendiri. Perkara ini adalah untuk memperoleh kesejahteraan dalam kehidupan apabila komunikasi dijalankan.

Contoh yang kita dapat lihat dalam kisah ini ialah perkataan-perkataan yang sangat tidak sopan apabila di dengar oleh kita. Contohnya: Lu dah cakap langsi sama gua..lu ingat gua boleh duduk diam ha.. Anjing kurap. dan pelbagai lagi. Tambah lagi bila sudah berlanjutan begini, diungkit-ungkitnya pulak kisah lepas seseorang. Aduhai manusia akhir zaman, berfikirlah dahulu kalian sebelum berkata-kata. Perkataan-perkataan yang dilontarkan ini tanpa kita sedari sebenarnya ia mencerminkan diri kita sebenarnya.Cubalah bercakap dengan berhemah, sopan, sudah tentu masalah ini tidak akan berlanjutan dan dapat diselesaikan dengan baik punyalah. 

Sebagai orang Islam, kita perlu tahu PRINSIP-PRINSIP KOMUNIKASI DALAM ISLAM. Antaranya ialah:

1)  Bercakap dengan lemah lembut ataupun Qaulan Layinan.
Biasanya ia ditujukan bagi orang-orang yang kasar dan pemarah serta mereka yang tidak mudah menerima kebenaran. Ini berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud :

"Pergilah kamu berdua kepada Fira’un, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufuran. Hendaklah kamu berkata kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut."

2)   Menggunakan perkataan yang baik-baik dan Qaulan Balighan
Iaitu komunikasi yang disampaikan kepada mereka sampai ke dalam jiwa dan bergetar naluri sehingga boleh memberi kesan anjakan paradigma kepada peribadi individu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :


" Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu (yang beriman) supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik...".

3) Menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tahap kecerdasan akal dan pandangan si pendengar.
Dalam hal ini Rasulallah S.A.W. bersabda :

 " Berbicaralah kepada manusia menurut akal (kecerdasan) mereka masing-masing".

4) Berbahas dengan cara yang lebih baik.
Iaitu dengan menggunakan perkataan yang sopan santun dan penuh berkhemah. Prinsip ini bersandarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" ... dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu ) dengan cara yang lebih baik ...."

5) Menyebut perkara yang penting berulang kali.
Prinsip ini bersandarkan kepada amalan Rasulullah s.a.w

" Apabila baginda mengucapkan sesuatu kata-kata baginda mengulangi 3 kali sehingga kata-kata difahami".

6) Semua percakapan perlu bertujuan kebaikan.

" Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam." (Direkodkan oleh Abu Daud)

7) Menjauhi perdebatan sengit.

"Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat." (Direkodkan oleh Ahmad dan Tirmidzi)

Dan dalam hadis lain disebutkan sabda Nabi SAW:

"Aku jamin rumah di dasar syurga bagi mereka yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya." (Direkodkan oleh Abu Daud).

8) Menjauhi kata-kata keji, mencela dan melaknat.

"Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji." (Direkodkan oleh Tirmidzi dengan sanad sahih)

9) Menghindari mengumpat dan mengadu domba.

"Janganlah kamu semua saling mendengki, dan janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling berkata-kata keji, dan janganlah kamu saling menghindari, dan janganlah kamu saling mengumpat satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Muttafaq 'alaih)

10) Penolakan terhadap sesuatu yang tidak dipersetujui perlu dalam keadaan tetap menghormati, suara yang lembut serta tidak meninggikan suara.


Hidup ni sentiasa berputar, jadi bila-bila masa kita boleh berada di atas dan bila-bila masa juga kita boleh berada di bawah. Bila kita di atas, bantulah mereka yang berada di bawah supaya kita sedar bahawa kesenangan ini hanya pinjaman semata-mata. Jika kita berada di bawah pula, renungkanlah diri sendiri dan insafi atas apa yang berlaku dalam diri kita. Ujian daripada Allah mungkin sebagai peringatan atas kelalaian yang kita lakukan.

Menjadi seorang yang memiliki sifat pemaaf amat dituntut oleh Islam. Ia bukan sahaja menonjolkan peribadi muslim yang berakhlak mulia dan berbudi pekerti tinggi, malah turut mencerminkan keindahan Islam sebagai agama samawi (agama wahyu ILAHI) yang meraikan fitrah kejadian manusia.

Hakikatnya, ungkapan ‘maaf’ amat mudah diucapkan, tetapi sebenarnya amat sukar untuk dipraktikkan. Di dalam al-Quran, ALLAH menjelaskan bahawa perbuatan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan mulia yang melayakkan seseorang muslim mendapat ganjaran yang tinggi di sisi-NYA:


Terimalah kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik, serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil. - Surah al-A‘raf : 199

Tak kiralah siapa yang bersalah, bermaafanlah. Siapa mahukan pahala lebih, dialah yang meminta maaf terlebih dahulu. Orang yang memulakan meminta maaf itu lebih mulia dan lebih lembut hatinya, tidak kira siapa pun yang bersalah.

Saya yang menulis ini pun memohon maaf jika sepanjang topik perbincangan entry kali ini terdapat kekasaran atau kepincangan. Jikalau ada mana-mana yang tersilap, saya sedia ditegur. Yang baik itu datangnya dari Allah dan segala keburukan, kesalahan dan kesilapan datangnya dari diri saya sendiri. Maaf sekali lagi.

Sekian, terima kasih.



Rujukan dari:
Sebarkan Cinta-Mu karya Fatimah Syarha Mohd Noordin



0 comments:

Post a Comment

Wassalam

Wassalam
 

Cerita Hati Emiera Template by Ipietoon Blogger Template