بسم الله الرحمن الرحيم
Topik yang saya mahu bincangkan pada hari ini ialah kepentingan
KOMUNIKASI dalam kehidupan. Bila kita lihat isu yang terhangat sekarang mengenai kisah Sharnaaz Ahmad, Lisdawati dan Fauzi Nawawi, apa yang kita fikirkan?? Mesti kiranya jika kita meminati Sharnaaz, sudah pastilah kita akan persalahkan pasangan suami isteri itu dalam hal ini dan begitu juga sebaliknya. Namun jika kita selidiki masalah mereka ini sebenarnya ia bermula dengan masalah komunikasi. Komunikasi yang tidak baik menyebabkan punca salah faham berlanjutan hingga tak sudah. Hal ini amat memalukan kita sebagai orang Islam. Bergaduh sesama saudara sendiri. Masing-masing mementingkan diri sendiri. Mesti orang yang bukan Islam asyik mentertawakan mereka ini. Inikah orang Islam??
Dalam Islam kita ada konsep
SYURA. Syura adalah suatu kaedah dan prinsip penting yang diajar
oleh agama Islam dalam melahirkan masyarakat Islam yang membangun, maju, stabil
dan adil. Konsep Syura sangat luas merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia,
dari perkara berkaitan kehidupan harian hingga pemerintahan negara. Syura
adalah prinsip fitrah yang wujud dalam jiwa manusia. Manusia sukakan urusan
mereka dibincangkan dengan meneliti pelbagai pandangan.
Syura mula diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan
kemudiannya diteruskan oleh para Khulafa’ ar-Rashidin selepas kewafatan beliau.
Perintah melaksanakan Syura di dalam setiap urusan politik dan pemerintahan
telah disebutkan oleh Allah s.w.t. melalui ayat :
“... dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan
(peperangan dan soal-soal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam
(setelah bermesyuarat untuk berbuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya.”
Dari segi istilah, maksud bagi kalimah al-Syura, al-Tashawur
& al-Mushawarah ialah perbincangan yang diadakan untuk membincangkan
sebarang perkara yang berkait samada dengan kepentingan individu ataupun
masyarakat, oleh kalangan cendekiawan dan kumpulan ulama yang mempunyai
kepintaran dan pengalaman serta mampu memberikan suatu pandangan mengenai
sesuatu perkara. Di samping itu, mereka juga dapat menjelaskan hujah-hujah bagi
mencari suatu keputusan yang terbaik.
* Alangkah bagusnya jikalau mereka ini berbincang. Cari penyelesaian secara damai. Janganlah tunjukkan pada orang sikap buruk kita. Hal ini sangatlah memalukan. Aduhaiii umat akhir zaman.
Islam memandang mulia terhadap aktiviti komunikasi. Ini
kerana, perkataan yang lebih baik di sisi Allah ialah kalimah yang digunakan
oleh hambanya untuk menyeru orang lain supaya mentauhidkanNya, mematuhi
perintah Allah dan ia sendiri melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran,
maka orang tersebut adalah dianggap lebih baik perkataannya (ahsana Qaulan)
disisi Allah S.W.T.. Dalam konteks komunikasi yang lain ia merujuk kepada
perintah Allah supaya setiap daripada hambanya saling memperingati antara satu
sama lain. Ianya telah dikuatkan lagi melalui elemen lisan dalam komunikasi
yang mana Baginda Rasulullah S.A.W. menuntut agar umatnya supaya mencegah
segala kemungkaran yang dilihatnya.
Kepentingan komunikasi lisan untuk melakukan perubahan dan
tegahan dapat diperhatikan kepada Hadis Rasulullah yang mengklasifikasikan
peranan lisan di tempat yang kedua selepas tangan iaitu kuasa. Perkara ini
dapat diperhatikan pada hadis yang bermaksud :
" Barang siapa di antara kamu melihat sesuatu
kemungkaran yang telah berlaku maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya,
jika tidak berkuasa, maka dengan lisan, jika tidak berkuasa juga ia mengubah
dengan hatinya bagi yang sedemikian selemah-lemah iman".
Muhammad Tahir Asyur menyatakan bahawa bersuara atau
menyatakan sesuatu melalui percakapan adalah hak fitrah manusia. Ini adalah
kerana percakapan itu adalah satu cara yang menjadi gambaran di dalam hati dan
diterjemahan dalam bentuk bahasa kepada orang lain untuk menyampaikan
hasratnya.
Manakala Chester I. Barnard melihat komunikasi sebagai satu
jalan apabila seseorang manusia dihubungkan bersama dalam satu organisasi untuk
mencapai tujuan bersama. Hal ini merupakan fungsi dasar komunikasi yang utama.
Oleh itu, adalah mustahil untuk menjalankan aktiviti berkumpulan tanpa
menggunakan komunikasi yang baik kerana segala penyelarasan dan perubahan tidak
dapat memberi kesan yang sebaiknya apabila aktiviti komunikasi tidak dijalankan
dengan landasan yang telah ditetapkan dalam Islam.
Komunikasi juga boleh digunakan untuk membebaskan atau
menyangkal, untuk mencipta atau memusnahkan, serta untuk memperbaiki mutu
kehidupan di dunia ini atau untuk melenyapkannya. Tetapi untuk merialisasikan
hal itu mestilah menggunakan cara yang sesuai dalam komunikasi bagi melahirkan
kesejahteraan dalam kehidupan.
Disamping itu, ia membolehkan kita mengenali orang lain dan
seterusnya dikenali oleh mereka. Melalui komunikasi juga ia membolehkan kita
hidup berkumpulan dan menjadi alat kerjasama dan penyelarasan sosial sejagat
antara manusia. Begitu juga dalam bidang ekonomi, komunikasi yang baik adalah
menjadi perkara pokok dalam menentukan hala tuju perkembangan ekonomi yang
pesat dalam sesebuah organinasi amnya hingga keperingkat antarabangsa
khususnya.
Melihat kepada kepentingan komunikasi ini, ia adalah satu
aktiviti yang dilakukan pada setiap saat dalam kehidupan seharian manusia yang
masih bernyawa. Ianya adalah untuk memenuhi kehendak sosial dan psikologi
kerana manusia perlu berkomunikasi dengan manusia lain bagi melafazkan apa yang
ingin diperkatakan atau untuk berkongsi pemikiran, pendapat, emosi dengan ahli
masyarakat di sekelilingnya. Kehendak untuk berkomunikasi ini adalah satu
kehendak dasar selagi manusia mahu hidup bermasyarakat.
Jenis-Jenis Komunikasi
Menurut Dr. Mohammad Fadhilah Kamsah dari kaca mata sarjana
Islam, komunikasi kemanusiaan terbahagai kepada tiga iaitu komunikasi di antara
manusia dengan Allah, komunikasi manusia dengan manusia dan komunikasi dengan
alam persekitaran.
Bagaimanapun ianya juga dibahagi kepada tiga bahagian yang
sedikit berbeza. Tiga bahagian tersebut ialah komunikasi dengan pencipta,
komunikasi dengan diri sendiri dan komunikasi dengan alam atau makhluk. Secara
huraiannya tiga bahagian tersebut dapat diterangkan seperti berikut :
i.
Komunikasi dengan pencipta.
Iaitu ibadah secara khusus. Perkara ini merujuk kepada
apabila setiap individu Muslim wajib mengadakan hubungan terus dengan Allah
sekurang-kurangnya 5 kali sehari melalui sembahyang fardhu. Ibadah sebagai
komunikasi secara langsung dari hamba kepada penciptanya ini sangatlah penting
kerana dengan sembahyang itu akan dapat mencegah seseorang Muslim daripada
melakukan perbuatan-perbuatan buruk dan kemungkaran yang ditegah oleh Allah.
ii.
Komunikasi dengan diri sendiri.
Ketepatan dan kejelasan adalah amat perlu kerana apabila
seseorang melakukan sesuatu tindakan atau komunikasi dengan pihak luar,
sebelumnya akan berlaku proses komunikasi di dalam diri individu tersebut.
Antara unsurnya ialah niat dan berfikir.
Maka di dalam Islam, faktor niat adalah penting sehingga
boleh menentukan sah atau tidaknya perbuatan seseorang keatas perbuatan yang
dilakukannya. Oleh itu Rasulallah s.a.w bersabda yang bermaksud :
" Sesungguhnya setiap perbuatan adalah dengan
niat".
Kepentingan niat dalam konteks undang-undang disebut dengan
motif menjadikan sesuatu perkara yang amat penting dalam pelaksanaan
undang-undang bagi memastikan seseorang itu bersalah atau tidak.
iii.
Komunikasi dengan alam atau makhluk.
Komunikasi jenis ini berlaku selain daripada komunikasi
dengan pencipta dan dengan diri sendiri. Komunikasi peringkat ini berlaku sama
ada memberi kesan negatif atau positifnya bergantung rapat kepada sejauh mana
ketepatan dan kebenaran proses komunikasi dilakukan pada komunikasi peringkat
pertama dan peringkat kedua.
Dalam konteks ini Islam mengiktiraf dan menerima segala
bentuk peralatan komunikasi moden yang beraneka jenis di zaman kini yang
menjadi elemen perantara perhubungan sosial asalkan ianya tidak mendatangkan
kesan negatif kepada keaslian fitrah manusia yang memerlukan keamanan, kebaikan
dan kesejahteraan hidup.
Komunikasi peringkat ini tidak terbatas kepada sesama
manusia sahaja, malah Al-Quran menceritakan bahawa Nabi Sulaiman A.S. sendiri
telah diberi kelebihan bahasa pertuturan dengan binatang seperti burung dan
sebagainya.
Ini membuktikan bahawa kita perlu berdisiplin dalam setiap
apa jua komunikasi yang dijalankan sama ada terhadap Allah S.W.T. sebagai
pencipta mahupun diri sendiri. Perkara ini adalah untuk memperoleh
kesejahteraan dalam kehidupan apabila komunikasi dijalankan.
Contoh yang kita dapat lihat dalam kisah ini ialah perkataan-perkataan yang sangat tidak sopan apabila di dengar oleh kita. Contohnya: Lu dah cakap langsi sama gua..lu ingat gua boleh duduk diam ha.. Anjing kurap. dan pelbagai lagi. Tambah lagi bila sudah berlanjutan begini, diungkit-ungkitnya pulak kisah lepas seseorang. Aduhai manusia akhir zaman, berfikirlah dahulu kalian sebelum berkata-kata. Perkataan-perkataan yang dilontarkan ini tanpa kita sedari sebenarnya ia mencerminkan diri kita sebenarnya.Cubalah bercakap dengan berhemah, sopan, sudah tentu masalah ini tidak akan berlanjutan dan dapat diselesaikan dengan baik punyalah.
Sebagai orang Islam, kita perlu tahu PRINSIP-PRINSIP KOMUNIKASI DALAM ISLAM. Antaranya ialah:
1) Bercakap dengan
lemah lembut ataupun Qaulan Layinan.
Biasanya ia ditujukan bagi orang-orang yang kasar dan
pemarah serta mereka yang tidak mudah menerima kebenaran. Ini berdasarkan
firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Pergilah kamu berdua kepada Fira’un, sesungguhnya ia
telah melampaui batas dalam kekufuran. Hendaklah kamu berkata kepadanya dengan
kata-kata yang lemah lembut semoga ia beringat atau takut."
2) Menggunakan
perkataan yang baik-baik dan Qaulan Balighan
Iaitu komunikasi yang disampaikan kepada mereka sampai ke
dalam jiwa dan bergetar naluri sehingga boleh memberi kesan anjakan paradigma
kepada peribadi individu. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud :
" Dan katakanlah kepada hamba-hambaKu (yang beriman)
supaya mereka berkata dengan kata-kata yang amat baik...".
3) Menyesuaikan bahasa dan isi percakapan dengan tahap
kecerdasan akal dan pandangan si pendengar.
Dalam hal ini Rasulallah S.A.W. bersabda :
" Berbicaralah
kepada manusia menurut akal (kecerdasan) mereka masing-masing".
4) Berbahas dengan cara yang lebih baik.
Iaitu dengan menggunakan perkataan yang sopan santun dan
penuh berkhemah. Prinsip ini bersandarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
" ... dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau
serukan itu ) dengan cara yang lebih baik ...."
5) Menyebut perkara yang penting berulang kali.
Prinsip ini bersandarkan kepada amalan Rasulullah s.a.w
" Apabila baginda mengucapkan sesuatu kata-kata baginda
mengulangi 3 kali sehingga kata-kata difahami".
6) Semua percakapan perlu bertujuan kebaikan.
" Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah berkata baik atau lebih baik diam." (Direkodkan oleh Abu Daud)
7) Menjauhi perdebatan sengit.
"Tidaklah sesat suatu kaum setelah mendapatkan hidayah untuk mereka, melainkan kerana terlalu banyak berdebat." (Direkodkan oleh Ahmad dan Tirmidzi)
Dan dalam hadis lain disebutkan sabda Nabi SAW:
"Aku jamin rumah di dasar syurga bagi mereka yang menghindari berdebat sekalipun ia benar, dan aku jamin rumah di tengah syurga bagi yang menghindari dusta walaupun dalam bergurau, dan aku jamin rumah di puncak syurga bagi yang baik akhlaknya." (Direkodkan oleh Abu Daud).
8) Menjauhi kata-kata keji, mencela dan melaknat.
"Bukanlah seorang mukmin jika suka mencela, melaknat dan berkata-kata keji." (Direkodkan oleh Tirmidzi dengan sanad sahih)
9) Menghindari mengumpat dan mengadu domba.
"Janganlah kamu semua saling mendengki, dan janganlah kamu saling membenci, dan janganlah kamu saling berkata-kata keji, dan janganlah kamu saling menghindari, dan janganlah kamu saling mengumpat satu dengan yang lain, dan jadilah hamba-hamba Allah yang bersaudara." (Muttafaq 'alaih)
10) Penolakan terhadap sesuatu yang tidak dipersetujui perlu dalam keadaan tetap
menghormati,
suara yang lembut serta
tidak meninggikan suara.
Hidup ni sentiasa berputar, jadi bila-bila masa kita boleh
berada di atas dan bila-bila masa juga kita boleh berada di bawah. Bila kita
di atas, bantulah mereka yang berada di bawah supaya kita sedar bahawa
kesenangan ini hanya pinjaman semata-mata. Jika kita berada di bawah pula,
renungkanlah diri sendiri dan insafi atas apa yang berlaku dalam diri kita.
Ujian daripada Allah mungkin sebagai peringatan atas kelalaian yang kita
lakukan.
Menjadi seorang yang memiliki sifat pemaaf amat dituntut
oleh Islam. Ia bukan sahaja menonjolkan peribadi muslim yang berakhlak mulia
dan berbudi pekerti tinggi, malah turut mencerminkan keindahan Islam sebagai
agama samawi (agama wahyu ILAHI) yang meraikan fitrah kejadian manusia.
Hakikatnya, ungkapan ‘maaf’ amat mudah diucapkan, tetapi
sebenarnya amat sukar untuk dipraktikkan. Di dalam al-Quran, ALLAH menjelaskan
bahawa perbuatan meminta dan memberi maaf adalah antara amalan mulia yang
melayakkan seseorang muslim mendapat ganjaran yang tinggi di sisi-NYA:
Terimalah kemaafan dan suruhlah dengan perkara yang baik,
serta berpalinglah (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil. - Surah
al-A‘raf : 199
Tak kiralah siapa yang bersalah, bermaafanlah. Siapa mahukan pahala lebih, dialah yang meminta maaf terlebih dahulu. Orang yang memulakan meminta maaf itu lebih mulia dan lebih lembut hatinya, tidak kira siapa pun yang bersalah.
Saya yang menulis ini pun memohon maaf jika sepanjang topik perbincangan entry kali ini terdapat kekasaran atau kepincangan. Jikalau ada mana-mana yang tersilap, saya sedia ditegur. Yang baik itu datangnya dari Allah dan segala keburukan, kesalahan dan kesilapan datangnya dari diri saya sendiri. Maaf sekali lagi.
Sekian, terima kasih.
Rujukan dari:
Sebarkan Cinta-Mu karya Fatimah Syarha Mohd Noordin